Betapa Luasnya Nikmat-Nya

November 14, 2021 By:

Purata kehidupan seorang manusia dalam lingkungan 60 tahun. Pernah ada orang yang katakan pada NM, bahawa jika usia kita mencecah lebih 60 tahun, ia merupakan satu BONUS di mana kita masih diberi peluang untuk menambahkan ibadat kepada Nya. Dalam sepanjang usia ini juga terdapat satu perkara yang NM rasa NM nak kongsi pada entri kali ini. Ia dinamakan NIKMAT.

Apakah Itu Nikmat?

Nikmat ini bukan sahaja terletak pada nilai harta benda, wang, makanan yang sedap, malah ia terlalu luas yang boleh datang dalam pelbagai bentuk dalam memberikan seseorang itu perasaan senang, nyaman, keselesaan, kemudahan dalam urusan, dan pelbagai lagi.

Peringatan Nikmat di dalam Surah ArRahman

Di dalam sebuah surah yang terdapat di dalam Al Quran dalam surat Ar-Rahman yang bermaksud (MAHA PENYAYANG), terdapat 31 kali ulangan ayat yang sama iaitu “Fabiayyi ala irabbikuma tukazziban” (Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan). Mengapa diulang begitu banyak sekali persoalan ini?

Beberapa tokoh terdahulu seperti di dalam tafsir Al Munir yang dikarang oleh Wahbah Azzuhaili menerangkan bahawa ayat ini bertujuan untuk memberi peringatan tentang nikmat-nikmat yang disebutkan bagi membangkitkan rasa malu, segan dan takut dengan ancaman kepada mereka yang mendustakan nikmat-nikmat yang telah diberikan.

Peringatan untuk diri NM

Ada masa kita terasa apabila diuji, kita telah ditarik nikmat, sedangkan jika kita lihat secara hikmah, apabila kita diuji akan sesuatu ujian yang lebih berat, itu menunjukkan bahawa Dia sedang memberikan peluang untuk kita mendapatkan pahala dan ganjaran di sisiNya jika kita bersabar dalam menghadapi ujian yang diberikan. Bukankan itu juga nikmat apabila Tuhan pencipta kita memberikan perhatian kepada kita? walaupun dengan sedikit ujian?

Jadi bersyukur dan redhalah atas akan sesuatu yang terjadi di atas muka bumi ini. Sedangkan muka bumi ini hanya persinggahan yang sangat singkat. Di mana yang kekal abadi adalah di alam kehidupan selepas mati.

Nikmat yang paling besar bagi seseorang muslim pula pada pandangan NM adalah nikmat islam. Nikmat ini tidak akan diperolehi oleh semua orang dan beruntunglah bagi mereka yang merasakan menjadi seorang muslim, suatu nikmat. Kenapa nikmat? kerana di dalam islam terdapatnya nikmat Iman.

Terlalu banyak nikmat yang selama ini kita miliki sama ada sedar atau tidak.

Cara menunjukkan rasa Syukur kepada Tuhan yang memberikan Nikmat

Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menunjukkan tanda syukur kita kepada Allah yang telah memberi kita pelbagai nikmat yang tak terkira. Tidak akan ada satu titis air minuman pun jika Allah tidak menetapkan bahawa nikmat itu untuk kita. Semuanya adalah dari Nya.

Perkara utama yang wajib dilakukan sebagai tanda berterima kasih adalah melalui solat 5 waktu. Di dalam solat kita memujiNya dan berterima kasih kepada Nya di dalam ayat-ayat serta bacaan di dalamnya. Sedar atau tidak sedar? kalau sedar Alhamdulillah. Kalau belum sedar, NM mengajak agar kita sama-sama cuba mempelajari maksud solat dengan lebih mendalam. Semoga solat kita bertambah khusyuk dan lebih bermakna.

Leave a Reply